Like Dan Dapatkan
Info Berita Terkini

Kawalan longgar


Ipoh: Daun ketum dan mercun antara barang dirampas daripada penonton yang menyaksikan perlawanan Perak menentang Johor Darul Ta’zim (Johor DT) di Stadium Perak, malam kelmarin.
Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Stadium Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) Johari Baharum berkata bahan terlarang itu dirampas semasa pemeriksaan anggota keselamatan di pintu masuk stadium sebelum perlawanan.
Johari, antara yang mempertahankan jawatan selaku Ahli Majlis PAFA dalam Kongres ke-58 pada 4 Oktober lalu, berkata beberapa penonton turut ditahan kerana membakar mercun semasa perlawanan.

Begitupun Johari mengakui kawalan longgar di pintu masuk tertentu menjadi faktor penonton dapat menyeludup masuk bahan terbabit ke dalam stadium.Berikutan itu tidak kurang lapan mercun dibakar semasa perlawanan terutama selepas Perak menjaringkan gol pendahuluan pada minit ke-29.
“Ada pintu masuk yang mengenakan kawalan ketat termasuk membuat pemeriksaan badan manakala ada yang sambil lewa saja. Inilah masalah kami selama ini. Jadi sukarlah untuk membendung sepenuhnya gejala membakar mercun ini,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Presiden PAFA Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata pihaknya akan meminta penjelasan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengenai tindakan pengadil, Zulkifli Ahmad membenarkan gol pertama Johor DT jaringan Amri Yahya biarpun pembantunya sudah mengangkat bendera tanda ofsaid.
Langkah itu bertujuan meminta pencerahan kerana beliau berpendapat tindakan penolong pengadil, Muhammad Juhairi Idris tepat apabila mengatakan Amri ofsaid.
“Ini bukan bantahan tapi cuma untuk mendapatkan penjelasan mengenai undang-undang permainan.
“Pengadil mempunyai kuasa mutlak dalam permainan dan PAFA akur dengan keputusannya itu,” katanya.
Dalam insiden pada minit ke-34 itu Amri menolak masuk bola muntah daripada tampanan penjaga gol tuan rumah, Hairol Fazreen Abu Hassan selepas percubaan Hariss Harun dengan pemain Perak Hafiz Ramdan mengalami kecederaan di sebelah kiri padang berhampiran pegawai perlawanan itu.
“Saya rasa keputusan penolong pengadil mengangkat bendera tanda ofsaid betul kerana bagaimana pemain yang cedera hendak bergerak. Dia tidak boleh dianggap berada dalam permainan seperti pemain lain.
“Apapun saya bukan pakar. Justeru PAFA akan meminta penjelasan FAM. Biar perkara ini jelas kepada semua pihak,” katanya.
Shahrul Zaman yang juga Exco Belia dan Sukan dan Mutlimedia Negeri berkata, keputusan Zulkifli itu sedikit sebanyak menjejaskan semangat pemain Perak yang hilang tumpuan terhadap perlawanan.
Perak tumpas 1-2 sekali gus terpaksa mengucap selamat tinggal kepada saingan Piala Malaysia musim ini.

0 Response to "Kawalan longgar"

Post a Comment